Thursday 4 April 2013

Motivasi / Tazkirah

Aktiviti 6


HADIS : MISKIN YANG SEBENAR, 15 FAKTA TENTANG SENYUM DARI SUDUT KESIHATAN
Tazkirah Jumaat
5 April 2013 (24 Jamadil Awal 1434H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
MISKIN YANG SEBENAR

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Yang dikatakan orang miskin itu bukanlah orang yang pergi dari rumah ke rumah, lalu diusir apabila dia meminta sebiji dua kurma, atau satu dua suap makanan. Orang yang sebenarnya miskin adalah orang yang tidak berasa cukup dengan apa yang dia ada. Dia tidak mampu bersabar lalu menceritakan halnya kepada orang lain. Kemudian ada orang memberikan sedekah kepadanya, tetapi dia masih belum berasa cukup, dan terus meminta-minta dari sesama manusia.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengajaran

•    Sentiasalah bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita.

•    Harta itu ujian dari Allah, maka bersabarlah sama ada kita mempunyai banyak atau sedikit harta.

•    Bersedekahlah dengan harta yang kita ada. Sedikit atau banyak itu tidak penting. Contohnya, janganlah jika kita ada wang seringgit mahu tunggu wang jadi dua ringgit baru mahu bersedekah. Wang ada seratus mahu tunggu jadi seribu baru mahu bersedekah. Kononnya mahu jadi kaya baru mahu bersedekah. Salah konsep tersebut, kekayaan itu bukan semestinya diukur dengan harta.

•    Yang miskin jangan terus mengeluh dan suka meminta-minta atau asyik meminta-minta, tetapi teruslah berusaha disamping bantuan yang ada.

(Hadis diambil dari majalah Iman bil. No: 14)


15 FAKTA TENTANG SENYUM DARI SUDUT KESIHATAN

1. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” – Hadis Riwayat Muslim.

2. Senyum merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman yang dapat merangsang seluruh tubuh melaui sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Ini sangat bermanfaat dalam mengelakkan tekanan darah yang tinggi ke otak.

3. Apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan hanya sekadar reaksi terhadap sesuatu, malah ia juga terlibat dalam penghasilan endorphin yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu merasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Ketawa (berperasaan gembira) sebanyak 100 kali dalam tempoh 24 jam mempunyai manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit. Hal ini demikian kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Seterusnya, kedua-dua kadar ini akan turun lebih rendah daripada paras sebelum ketawa.

6. “Tawa Rasulullah SAW hanyalah senyuman.” – Riwayat Tirmidzi.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis ‘stress’ iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Apabila kita senyum, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-interferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit).

9. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan.

10. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan bahan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, arthritis dan ulser.

11. Senyuman dan ketawa adalah senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ia ibarat urutan terhadap organ-organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan daya tumpuan belajar. Ia juga melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi, membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

12. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan.

13. Senyum mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Ia juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah dan memulakan sebuah ukhuwwah.

14. Dalam ajaran Islam, senyum mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (HR Tirmizi dan Abu Dzar).




+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

2. 

Motivasi pagi: Jadilah orang yang kaya kasih sayang

“Jadilah orang yang kaya kasih sayang”
“Kasih sayang itu suatu tenaga”
“Kasih sayang itu bagaikan akaun bank yang penuh dengan wang ringgit”

Hakikatnya begitulah. Dalam ruangan motivasi pagi radio ikim.fm yang saya dengar pagi ini mengandungi falsafah tentang kasih sayang yang sangat tinggi nilai. Terus dikongsi kepada rakan taulan supaya memberikan aura positif kepada mereka.

Hakikat kasih sayang ini suatu tenaga dan aura positif. Datangnya dari dalam hati diterjemahkan melalui senyuman dan tindakan. Akhirnya akan menghasilkan tenaga kerja yang sangat mengujakan. Bekerja dari dalam hati hasil dari aura tenaga kasih dan sayang.

Di pejabat, kita bagaikan terbiasa dengan budaya menyalahkan orang. Fikiran sentiasa negatif hanya disebabkan salah tanggapan.

Ada suatu cerita:

Pada suatu hari, masuklah seorang bapa dan 2 orang anak ke dalam sebuah tren komuter. Ayah duduk dalam keadaan sugul membiarkan anaknya berlari ke sana-sini. Karenah anaknya itu sangat menimbulkan rasa kurang puas hati pengguna yang lain. Sudahlah berlari, malah diganggu pula orang yang lain. Habis tumpah air kopi yang sedang diminum seorang penumpang.

Akhirnya, seorang lelaki sudah tidak dapat menahan sabar. Lalu, lelaki itu menghampiri bapa kepada anak-anak itu.
“Saudara, anak saudara sangat mengganggu kami. Mengapa dibiarkan sahaja”" katanya.
“Oh..maafkan saya. Saya sebenarnya baru pulang dari kampung” katanya.

Dalam nada sebak lelaki itu terus cuba bersuara ” Saya baru pulang dari kampung menguruskan kematian isteri tercinta. Anak saya yang dua orang itu sebenarnya baru sahaja kematian ibunya yang tercinta. Maafkan saya”.

Lelaki tersebut terkedu. Tidak terkata. Sedih dan rasa bersalah kerana membuat anggapan buruk terhadap bapa tersebut.
“Maafkan saya. Saya minta maaf” hanya itu sahaja yang mampu diungkapkan.

Saudara, adakalanya kita terlalu mudah untuk membuat andaian, tanpa mengetahui keadaan sebenarnya. Mudah sangat kita membuat kesimpulan tanpa bertanya dan menyelidiki sebab musababnya. Jadi, tiada kasih sayang dihambur malah, kritikan pedas menjadi peluru yang tidak bermata.
Jadi, mari kita betulkan sikap kita. Mari tanam benih kasih dan sayang. Kita bajai dengan senyuman dan pertolongan selayaknya.

oleh: Ruzain Syukur Mansor




No comments:

Post a Comment

ETIKA PENGGUNAAN INTERNET